Thursday 25 April 2013

Arkitek insani

Semua orang boleh menjadi guru tetapi tidak semua mampu menjadi seorang guru yang efektif atau bahasa mudahnya guru berkesan dalam mendidik murid.Mari kita singkap definisi guru yang efektif sebelum saya sebutkan ciri-cirinya.Mereka adalah guru yang mampu mengurus kelas dengan terkawal,membentuk suasana positif ketika sesi pembelajaran dan paling penting adalah mereka mampu menggunakan masa p&p dengan jayanya. 


Terdapat 3 aspek guru yang efektif dalam pengurusan bilik darjah seperti yang telah dinyatakan oleh Haliza Hamzah iaitu kualiti peribadi,kompetensi p&p serta penghayatan dan amalan nilai.Aspek kualiti peribadi itu sememangnya perkara semulajadi dalam diri seorang guru.Mana mungkin seorang guru tidak memiliki auranya tersendiri.Aura yang saya maksudkan ialah jiwa roh seorang guru pastinya akan membiaskan kesan mendalam pada murid.Guru yang bersemangat dan proaktif mampu memotivasikan murid kerana keinginan beliau untuk mengajar dapat dirasakan oleh murid-muridnya.Hal ini akan menyebabkan murid mudah faham isi penting pelajaran yang dipelajari.


Tugas seorang guru bukanlah seperti arkitek membina bangunan atau jalan raya.Namun kitalah murabbi arkitek manusia,membina jiwa insani yang punya seni tersendiri. 


Aspek kedua pula kompetensi p&p atau bahasa mudahnya kecekapan p&p.Saidina Ali berpesan,seseorang yang tidak mempunyai apa-apa tidak mampu memberikan apa-apa.Jelas maksudnya bahawa sekiranya guru ingin menyampaikan sesuatu mestilah menguasai keseluruhan bab yang ingin diajar kepada murid.Ia merangkumi pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik.Guru perlu memastikan murid dapat memahami isi penting pelajaran sepertimana yang difahami guru.Lebih baik sekiranya isi pelajaran dikaitkan dengan kehidupan seharian supaya murid mudah mengingatinya.Kecekapan guru dalam p&p melibatkan pelbagai kemahiran dan hanya guru yang berkemahiran sahaja dapat menguruskan kelas dengan mudah dan berkesan. 

Aspek terakhir adalah penghayatan dan amalan nilai.Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.Sayang sekali seandainya penampilan sudah cukup melambangkan seorang guru,namun intipati dalamannya kurang menghayati erti nilai sebenar keguruan.Guru sememangnya profesion popular kerana disanjungi masyarakat.Sekali bergelar guru,sampai bila-bila tetap dipanggil cikgu.Gurulah pendidik,pembimbing seterusnya menjadi qudwah hasanah dalam sesebuah masyarakat kerana guru adalah agen perubah generasi masa hadapan.Corak didikan guru akan terlakar melalui muridnya yang bergelar pemimpin masyarakat.Tidak kira apa jua kerjaya gah samada doktor,peguam,polis hatta Perdana Menteri sekalipun bermula dari seorang guru tua yang tidak jemu-jemu mendidik anak watan tercinta.Dalam erti kata lain,setiap bakal guru mestilah menghayati nilai sebenar roh seorang murabbi agar tidak menjadi fitnah kepada masyarakat kita.

No comments:

Post a Comment